Friksi?
Sebenarnya, orang-orang Syiah yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai pengiring mereka seramai lebih kurang 60 orang itu tidak akan senang hati dengan keputusan Sayyidina Husain untuk membai’ah Yazid kerana bila Sayyidina Husain berbaiah kepada Yazid mereka sudah pasti akan dibunuh. Sekiranya ini terjadi akan musnahlah segala perancangan mereka untuk menghancurkan perpaduan umat Islam pada ketika itu iaitu dengan tertangkapnya orang-orang yang terlibat dalam pemberontakan tersebut dan dengan terkumpulnya seluruh baiah kepada Yazid.
Apa yang kita ketahui hari ini sebagai peristiwa Karbala yang menyayatkan hati setiap Muslim yang cintakan Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya sebenarnya disebabkan oleh golongan Syiah yang mengiringi Sayyidina Husain di samping golongan Syiah yang datang dari Kufah. Merekalah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain dengan tujuan untuk terus mengharubirukan suasana dan memecah belahkan kesatuan umat. Untuk mencapai tujuan ini mereka telah mencanangkan Yazid sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala.
Begitulah perangai mereka, setelah membunuh seseorang mereka letakkan dosa pembunuhan itu ke atas orang lain. Sebagai buktinya, kita boleh lihat kenyataan seorang pengarang sejarah Syiah di dalam bukunya ”Umdatu At Talib” di mana beliau menulis begini :
”Setelah mendengar berita pembunuhan Muslim, maka Husain mahu berpatah balik tetapi anak - anak ‘Aqil enggan berbuat begitu. Maka beliaupun terus mara ke hadapan sehingga sampai tidak jauh dari Kufah. Di situ beliau berhadapan dengan Hur bin Yazid Ar Riahi (seorang Syiah ) dengan 1,000 pasukan berkudanya. Husain enggan meneruskan perjalananannya ke Kufah dan beliau membelok ke arah Syam dengan maksud untuk menemui Yazid bin Muawiyah tetapi bila beliau sampai di Karbala beliau ditahan dari meneruskan perjalanannya ke Syam dan dipaksa supaya pergi ke Kufah menurut perintah Ubaidullah bin Ziad tetapi Husain tetap enggan dan tetap memilih jalan yang membawa mereka ke Syam“. (Umdatu At Thalib Fi Ansab aal Abi Thalib, m.s. 179)
Kalaupun dikatakan juga Yazid yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Sayyidina Husain dan sebahagian ahli rombongannya ke Kufah itu (walaupun sebelum ini telah terbukti bahawa Yazid bebas daripada tuduhan pembunuhan itu) maka bukankah ada juga hujah bagi Yazid untuk bertindak demikian berdasarkan perintah Nabi s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud :
”Apabila telah dibai’ahkan dua khalifah maka bunuhlah yang terkemudian daripada dua itu“. (Sahih Muslim)
Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :
”Jika seseorang tampil untuk menentang seseorang khalifah (yang sudah dilantik) dengan mendakwa sebagai khalifah, maka penggallah leher orang yang mendakwa khalifah itu “.(Muslim, Abu Daud, Nasai, Ahmad, Ibn Majah)
Nabi s.a.w. juga bersabda bermaksud :
”Sesiapa juga yang datang kepadamu dalam keadaan kamu sudah berbai’ah kepada seseorang, dia mahu memecahkan perpaduan kamu atau menyelerakkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah dia“. (Sahih Muslim)
Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :
”Nanti akan berlaku fitnah yang besar-besar. Maka jika ada sesiapa mahu menyelerakkan urusan umat ini ketika mana mereka telahpun bersepakat, maka penggallah lehernya dengan pedang, biar siapapun dia itu“. (Muslim)
Mungkin ada yang terkeliru apabila melihat kedudukan Sayyidina Husain yang begitu istimewa berbanding Yazid, maka haruslah Sayyidina Husain memberontak terhadap Yazid. Kekeliruan seperti ini seharusnya akan hilang dengan adanya hadis-hadis daripada Rasulullah s.a.w.. seperti yang bermaksud :
”Turutlah dan taatilah ( pemerintahmu ) walaupun dilantik memerintah kamu seorang hamba Habsyi yang kepalanya bagaikan buah anggur“. (Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad, Ibn Majah)
Begitu juga menurut apa yang diriwayatkan oleh Ubadah bin As Shamit bahawa, “Rasulullah s.a.w. memanggil kami dan kami berbai’ah kepadanya untuk menurut dan mematuhi pemerintah”.
Sama ada kami suka atau tidak suka, sama ada sukar ataupun mudah untuk kami menurutinya dan sehingga kami mengorbankan apa saja untuknya, kami juga berbai’ah untuk tidak menentang pemerintah kecualilah jika pemerintah itu melakukan kekufuran secara terang-terangan dan kamu pula mempunyai bukti yang terang daripada Allah tentangnya. (Sahih Bukhari & Muslim)
Kedua-dua hadis ini menjelaskan bahawa seseorang pemimpin itu wajib ditaati dan tidak boleh memberontak terhadapnya biar dalam keadaan bagaimana sekalipun kecualilah jika pemerintah itu telah melakukan kekufuran secara terang-terangan seperti yang tersebut di dalam hadis ini. Oleh itu di manakah letaknya kewajaran menentang beliau (Yazid) dan memberontak terhadapnya?
Berdasarkan hadis-hadis ini juga tidakkah wajar bagi Yazid bertindak menghalang pemberontakan yang berlaku (walaupun usaha ini sampai menumpahkan darah)? Jika diandaikan Sayyidina Husain berada di tempat Yazid sebagai khalifah maka apakah yang seharusnya beliau lakukan ke atas pemberontak yang mahu merampas kuasa daripadanya? Bukankah dia akan bertindak mempertahankan kedudukannya sebagai khalifah yang telah dibai’ahkan oleh umat dengan menumpaskan pemberontakan yang berlaku walaupun dengan menumpahkan darah mereka. Jika beliau bertindak begitu, bukankah kita tetap akan berkata, ”Bahawa beliau tidak melampaui batas dalam tindakannya itu kerana sememangnya ada perintah Rasulullah s.a.w berhubung dengan tindakan terhadap pemberontakan atau orang yang mendakwa sebagai khalifah setelah diberikan ba’iah kepada seseorang sebagai khalifah sebelumnya?”
Kerana itulah kita lihat dalam sejarah tidak ada seorangpun sahabat yang turut serta dalam pemberontakan yang dicetuskan oleh Sayyidina Husain, bahkan mereka telah berusaha sedaya upaya menghalang Sayyidina Husain dari maksudnya itu. Perlu diingat bahawa pada masa itu terdapat masih ramai lagi sahabat Rasulullah s.a.w. (Syeikh Muhammad Al Khudhari Bey-Itmamu AL Qafa’ Fi Seerati Al Khulafa’, m.s 14)
Demikian juga dari kalangan sanak- audaranya hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang ikut serta dalam rombongan itu. Iparnya Abdullah bin Jaafar At Thayyan, suami kepada saudara perempuan Sayyidina Husain yang bernama Zainab, telah bercerai dengan isterinya kerana berbeza pendapat dengan isterinya dan tidak bersetuju dengan maksud Sayyidina Husain itu.
Disini mungkin pula timbul persoalan iaitu, kenapa pula kita mengambil kenyataan dari riwayat yang menyatakan pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain adalah Syiah Kufah dan bukannya pihak Yazid sebagimana yang sering didengari dan disebarkan selama ini?
Maka untuk menjawab persoalan ini kita akan berkata bahawa, ”Riwayat yang mengatakan pihak Yazid sebagai pembunuh Sayyidina Husain di Karbala itu 90% daripadanya adalah berpunca daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya dan orang-orang seperti Muhammad bin As Saaib Al Kalbi dan anaknya Hisyam yang telah dikenali oleh ulama Rijal sebagai orang-orang Syiah. Bahkan mereka disebutkan sebagai ”Saba’i” (pengikut Abdullah Ibn Saba’)”
Riwayat-riwayat yang menyebutkan Syiah Kufah sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Sayyidina Husain itu juga diriwayatkan oleh Syiah. Bahkan kenyataan-kenyataan ini tersebut di dalam kitab-kitab mereka yang ”asal“.
Jadi kedua-dua riwayat ini adalah berpunca daripada Syiah (pengikut Ibn Saba’ yang terkutuk itu), mereka menyimpan bersama mereka fakta yang sebenarnya tetapi untuk mengelirukan umat Islam terutamanya golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan umat manusia seluruhnya, mereka mencipta kisah-kisah yang menggambarkan Yazid sebagai pihak yang bertanggungjawab di dalam pembunuhan itu. Orang-orang dari kalangan mereka seperti Abu Mikhnaf Lut bin Yahya, Al Kalbi, Al Waqidi dan lain-lain mencipta kisah ini untuk dikemukakan kepada ahli - ahli sejarah Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti At Thabari dan lain-lain.
Dan apa yang dikemukakan oleh Thabari itu telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat kerana beliau dipercayai sebagai orang Ahlus Sunnah wal Jamaah yang bersikap sederhana dalam penyusunan kitab sejarahnya. Dengan begitu, berjayalah puak-puak Syiah ini dalam perancangan mereka yang halus itu. Berabad lamanya mereka berpesta keriangan lantaran tertipunya Ahlus Sunnah dan manusia semuanya. Walau bagaimanapun, kebenaran tetap akan terserlah jua akhirnya. Seperti matahari yang ditutupi awan tebal untuk beberapa lama tetapi akhirnya tetap akan memancarkan sinarnya yang terang.
Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang terperangkap dengan tipu daya Syiah ini adalah golongan yang meninggalkan dua sumber yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Quran dan Al Hadis.
Mereka itu sebenarnya adalah orang-orang yang malang kerana menganggap Al-Quran dan As Sunnah tidak berperanan dalam mengemukakan fakta-fakta sejarah sepertimana peranannya di dalam mengemukakan hukum-hukum agama. Adapun Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpegang teguh dengan kedua-duanya, sama sekali mereka tidak akan terkeliru dan terpedaya dengan kepalsuan sejarah yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam.
Di dalam Sahih Bukhari misalnya akan kita temui riwayat dari Ibn Umar yang dengan jelas mengatakan golongan Syiah Kufah atau orang Iraq lah yang telah membunuh cucu Rasulullah s.a.w., Sayyidina Husain, iaitu ketika beliau ditanya oleh seorang penduduk Iraq tentang apakah fidyahya orang yang berihram yang membunuh lalat? Maka sebagai menjawabnya beliau berkata, ”Orang Iraq bertanya tentang membunuh lalat padahal mereka telah membunuh cucu Rasulullah s.a.w. (Sahih Bukhari, jilid 1, m.s 530)
Riwayat ini menunjukkan bahawa para sahabat yang masih hidup pada ketika itu tidak menganggap pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala berlaku mengikut perintah Yazid bahkan mereka menganggap orang Iraq atau orang-orang Kufahlah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain, kerana itulah sikap mereka terhadap Yazid dapat dilihat dengan jelas iaitu mereka tetap setia kepadanya dan tidak terlibat dalam pemberontakan-pemberontakan terhadapnya yang dicetuskan oleh Ibn Zubair atau Mukhtar bin Abi’ Ubaid Ats Tsaqafi.
Di zaman kemudian daripada generasi sahabat pula, walaupun sudah agak meluas tersebarnya riwayat-riwayat yang menuduh Yazid sebagai pembunuh Sayyidina Husain, namun rata-rata masyarakat pada masa itu masih tidak terpedaya dengannya. Sebagai contohnya dapat dilihat pada pandangan Imam Ghazali tentang Yazid dan juga orang yang membunuh atau menyuruh membunuh Sayyidina Husain. Kata beliau, ”Dan Yazid, Islamnya baik, tidak benar pendapat yang mengatakan beliau membunuh Sayyidina Husain atau beliau menyuruh orang membunuhnya atau beliau senang hati dengan pembunuhan itu. Oleh itu, apabila tidak benar pembunuhan itu dilakukannya, maka haramlah berprasangka buruk terhadapnya. Allah s.w.t berfirman bermaksud :
”Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa“.
Nabi S.A.W. bersabda :
”Sesungguhnya Allah mengharamkan darah, harta dan kehormatan setiap orang Muslim (dari dicerobohi)”
Orang yang menyangka Yazid telah memerintahkan supaya membunuh Sayyidina Husain dan senang hati pula dengan pembunuhannya adalah terlalu bodoh kerana orang-orang besar, menteri-menteri dan raja-raja yang terbunuh di zamannya tidak diketahuinya siapakah pembunuhnya, yang memerintahkan pembunuhan, siapa yang senang hati dan siapa pula yang tidak senang hati, walaupun pembunuhan itu berlaku tidak jauh daripada tempatnya dan semasa hidupnya, bagaimana pula dia akan mengetahui pembunuhan yang telah berlaku di satu negeri yang jauh dan pada satu masa yang telah lama pula? Bagaimana dia mengetahui peristiwa yang telah berlaku hampir 400 tahun yang lampau di suatu tempat yang jauh ditambah pula oleh adanya perasaan ta’sub dan cerita-cerita palsu berhubung dengan peristiwa ini?
Tentu sekali peristiwa ini tidak dapat diketahui hakikatnya sama sekali dan apabila kita tidak mengetahui hakikatnya, maka wajiblah kita menyimpan sangka baik terhadap setiap orang Islam- Imam Al Ghazali (Ihya’ Ulummuddin jilid 7 m.s 488 dan Ibn Khallikan-Wafayaatu Al A’yan jilid 3 m.s 288-289)
Begitulah pendapat Imam Ghazali dan juga muridnya Ibnul Arabi di dalam bukunya ”Al Awaasim Min Al Qawaasim“. Dengan meletakkannya di hadapan semua kenyataan-kenyataan sebelum ini, hendaknya tidak ada lagi orang yang ragu tentang bersihnya Yazid daripada tuduhan liar ini dan terungkaplah sudah rahasia pembunuh-pembunuh sebenar Sayyidina Husain di Karbala.
Seorang penyair Urdu berkata :
qarib he abltoroze mehsyarchupe ga kusyton/ka khun kiunkaragar na boli/zubane khaujarlahu pukarelga aasetin ka
Maksudnya, hari mashyur sudahpun hampir darah orang-orang terbunuh takkan tersembunyi lagi kalau pun lidah khanjar tidak berkata percikan darah di lengan-lengan baju pasti akan menjadi saksi.
Dan akhir sekali renungi firman Allah S.W.T. ini yang bermaksud :
”Dan (ingatlah) ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang pembunuhan itu dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan “. (Al Baqarah : 72)
Labels: Turunan


0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home