YAZID?
Untuk dikatakan Yazid melalui Gabenor Ubaidullah bin Ziad dan panglimanya Umar membunuh Sayyidina Husain, selain daripada ianya bercanggah dengan kenyataan-kenyataan dan bukti-bukti yang telah dikemukakan sebelum ini, ia juga bercanggah dan bertentangan dengan pesanan yang telah diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid tentang Sayyidina Husain dan pesanan itu dicatatkan oleh Thabari di dalam ”Tarikh”nya bahawa, ”Adapun Husain bin Ali maka penduduk Iraq sekali-kali tidak akan melepaskannya sehinggalah mereka mengeluarkannya untuk memberontak. Maka sekiranya ia keluar memberontak terhadapmu dan engkau dapat menangkapnya maka maafkan lah dia kerana beliau mempunyai pertalian rahim yang sangat hampir dengan kita dan juga mempunyai hak yang sangat besar”. (‘Tarikh At Thabari’, jilid 4, ms 238). Di tempat yang lain dinukilkan begini, ”Sekiranya engkau menangkapnya maka maafkanlah dia kerana jika aku sendiri menghadapi perkara ini necsaya aku memaafkan dia juga“. (Ibid jilid 4 m.s. 239)
Perkara yang sama juga telah disebutkan oleh Mullah Baqir di dalam kitabnya ”Jilaau Al Uyun“. Walaupun selepas mengemukakan pesanan ini Mulla Baqir menyatakan pendapatnya bahawa wasiat yang diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid itu bukanlah kerana memikirkan Sayyidina Husain tetapi untuk menjaga kerajaan Yazid. Kerananya Muawiyah telah pun mengetahui bahawa dengan membunuh Sayyidina Husain akan hancurlah kerajaan Yazid. Tetapi ini tidak lebih daripada dakwaan semata-mata tanpa disokong oleh dalil yang kukuh dan memberikan kunci ilmu ghaib pula kepada Muawiyah. Kalaulah Muawiyah memang berniat begitu, kenapakah beliau tidak mengatakan terus terang kepada Yazid bahawa, ”Jangan sekali-kali engkau membunuh Husain kerana pembunuhannya menandakan kehancuran kerajaanmu”. Walau bagaimanapun pesanan Muawiyah itu telah dikemukakan juga oleh beliau seperti mana ahli-ahli sejarah yang lain.
Yazid pula di dalam pesanannya terhadap gabenornya Ibn Ziad menekankan begini, “Saya mendapat tahu bahawa Husain telah pun menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangimu dan tulislah selalu kepadaku tentang apa yang berlaku. Wassalam “. (‘Al Bidayah Wa An Nihayah’, jilid 8 m.s. 165)
Pesanan ini menunjukkan tindakan Yazid yang bijaksana sebagai pemimpin negara yang mahukan keamanan dan ketenteraman di dalam negaranya. Begitu juga terdapat arahan di dalamnya kepada Gabenor Ibnu Ziad supaya tidak memulakan perang terhadap pihak lawannya dan jika diserang pula, maka langkah-langkah yang mempertahankan diri perlulah diambil. Kata-kata Yazid yang berbunyi, “Tetapi janganlah engkau perangi kecuali orang yang memerangimu”, merobohkan sama sekali cerita palsu yang memuatkan kezaliman dan kekejaman oleh pihak kerajaan Yazid terhadap Sayyidina Husain. Begitu juga mana mungkin kekejaman dan tindakan yang melampau terhadap rombongan Sayyidina Husain itu dilakukan oleh Ibn Ziad, gabenor Yazid di Kufah dalam keadaan terdapat pula surat daripada Marwan, bekas Gabenor Madinah, kepadanya yang berpesan dengan sungguh-sungguh berbunyi :
”Sesungguhnya Husain bin Ali anak Fatimah telah pun menuju ke arahmu dan Fatimah adalah anak perempuan Rasulullah s.a.w. Demi Allah! Tidak ada seorang pun yang lebih dikasihi kami daripada Husain. Semoga Allah menyelamatkannya. Oleh itu waspadalah. Jangan sekali-kali kerana kemarahan engkau melakukan sesuatu yang tidak dapat diubati dan tidak dapat dilupakan oleh ummat sampai akhir zaman. Wassalam”. (‘Al Bidayah Wa An Nihayah’, jilid 8, m.s. 165; ‘Naasikhu At Tawarikh’, jilid 6, m.s. 212 ).
Surat ini selain daripada menunjukkan betapa kasihnya Marwan kepada Sayyidina Husain dan betapa kuatnya peringatan yang diberikannya kepada Ibn Ziad telah menidakkan segala cerita-cerita palsu yang dihubungkan kepada Ibnu Ziad. Dengan adanya pesanan-pesanan dan arahan-arahan seperti ini daripada pemimpin agung dan pemimpin - pemimpin yang lain, mana mungkin seorang pemimpin bawahan seperti Ibn Ziad sanggup melanggarnya.
Selain dari itu kalaulah Yazid bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain itu maka mengapakah pula rombongan-rombongan sanak-saudara Sayyidina Husain yang masih hidup selepas peristiwa Karbala itu dibawa oleh bala tentera Yazid ke Syam dengan penuh penghormatan? (Al Akhbaru At Thiwal m.s. 200). Zainab saudara Sayyidina Husain misalnya, setelah berada di Syam dan mendapat bermacam-macam kemudahan dan layanan yang baik daripada pihak kerajaan Yazid tidak mahu lagi pergi kemana-mana hatta pulang ke Madinah apa lagi akan pergi ke Iraq atau Kufah. Ali Zainal Abidin pula dilaporkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai seorang yang amat setia kepada Yazid dan tidak terlibat dalam mana-mana pemberontakan oleh mana-mana pihak sesudah itu sama ada pemberontakan oleh pihak Ibnu Zubair atau pihak Mukhtar bin Abi Ubaid Ats Tsaqafi (yang bangkit memberontak dengan alasan membela Ahlul Bait!)
Labels: Turunan


0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home